Tidak Setuju PPBM Monopoli Pakatan Harapan – Guan Eng

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak bersetuju Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memonopoli jawatan tertinggi dalam Pakatan Harapan.

Biarpun belum ada keputusan muktamad mengenainya, Setiausaha Agung DAP itu secara peribadi menyatakan tidak setuju jawatan presiden dan pengerusi Pakatan Harapan dimonopoli oleh PPBM.

“Apa yang saya tahu Pakatan Harapan belum buat keputusan muktamad.

“Secara peribadi, saya tidak setuju kedua-dua jawatan (presiden dan pengerusi) Pakatan Harapan dimonopoli oleh PPBM.

“Perlu ada rundingan dengan parti lain. Saya tidak akan bersetuju jika kedua-dua (jawatan) itu dipegang oleh pemimpin PPBM,” katanya.

Beliau dalam pada itu menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad mengetuai pembangkang sekiranya bekas perdana menteri itu mahu menentang Barisan Nasional.

“Dan jika Tun Mahathir sanggup mengetuai perjuangan menentang Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN, dia harus dibenarkan untuk memainkan peranan utama. Lagipun, dia adalah bekas perdana menteri,” kata Guan Eng. – 14 Jun 2017.