Hanya 10 Peratus Anggota Polis Kelantan Dibenarkan Cuti Raya

Hanya 10 peratus daripada 4,000 anggota polis Kelantan dibenarkan cuti sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, keutamaan tersebut diberikan kepada anggota yang bukan berasal dari negeri itu dan mereka yang sudah lama tidak bercuti.

Dalam masa sama katanya, semua ketua-ketua polis diwajibkan beraya dengan anggota mereka terlebih dahulu sebelum dibenarkan pulang.

“Komander-komander, ketua-ketua mesti beraya dengan anak buah terlebih dahulu sebelum boleh pergi beraya di mana-mana,” katanya selepas Majlis serah terima tugas Ketua Polis Kelantan dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Polis (Perkep).

Sementara itu, Hasanuddin berkata, beliau akan meneruskan usaha kepemimpinan terdahulu membanteras jenayah dan memastikan keselamatan penduduk Kelantan terjamin.

Pada masa sama, beliau juga tekad meneruskan usaha Allahyarham Ab. Rahman iaitu memerangi dadah secara habis-habisan di negeri itu.

“Kita akan terus jihad perangi dadah. Saya juga mempunyai matlamat sama dengan Allahyarham Ab. Rahman untuk memastikan masalah dadah ini terus diperangi,” katanya. – 15 Jun 2017.