Baju Raya Percuma Kepada Lebih 60,000 Pengundi Tanah Merah

UMNO Bahagian Tanah Merah mula mengagihkan sumbangan baju raya kepada lebih 60,000 pengundi di parlimen itu.

Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, agihan secara berpusat itu membabitkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Panau, Gual Ipoh dan Kemahang bagi memudahkan penerima.

Katanya, beliau turut mengarahkan setiap pengarah DUN supaya mempermudahkan segala urusan pengambilan sumbangan termasuk membuka pejabat setiap hari dari pagi hingga malam.

“Dengan cara agihan berpusat ini, penerima tidak perlu bersusah payah datang ke majlis penyampaian sumbangan seperti tahun sebelum ini, tetapi mereka boleh ambil terus di Pejabat DUN pada bila-bila masa ada kelapangan.

“Saya juga terlebih dahulu minta maaf kerana pasti ada kekurangan dan kelemahan dalam pengagihan sumbangan ini sebab jumlah penerima terlalu ramai,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc). – 17 Jun 2017.