Bekalan Bahan Mentah Mencukupi Menjelang Aidilfitri

Bekalan bahan mentah seperti sayur, ayam, ikan dan hasil pertanian lain dijamin mencukupi sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ia bagi mengelak kenaikan mendadak harga barang hingga membebankan penduduk terutama di luar bandar.

“MOA akan membekalkan makanan mentah secukupnya, manakala dari segi harga pula, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan pantau supaya tiada pihak ambil kesempatan.

“Saya tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan harga barang mentah, tapi hanya sedikit… kalau melampau itu tidak mungkin.

“Namun, pengguna harus lebih cerdik memilih kedai yang menawarkan harga lebih murah seperti pasar tani serta pasar malam,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa bersama Belia dan Beliawanis Kelantan.

Sementara itu, mengulas isu lambakan mempelam harumanis beliau berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dijangka akan mengambil alih pemasaran buah berkenaan bagi memastikan ia dijual dengan harga yang menguntungkan pengusaha.

Bagaimanapun katanya, perbincangan mengenai masalah itu akan dilakukan dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian untuk jangka masa pendek dan panjang.

“Kalau penyelesaian jangka masa pendek mungkin agak sukar, sebaliknya kita kena rancang untuk jangka masa panjang supaya ia memberi pendapatan yang baik.

“FAMA memang tugasnya untuk mencari pasaran buah-buahan dan sayur-sayuran. Jadi tidak mustahil kalau FAMA akan mengambil bahagian dalam pasaran harumanis,” katanya. – 17 Jun 2017.