Pihak Berkuasa Thailand Rampas Pil Kuda

Pihak berkuasa Thailand menahan dua lelaki serta merampas sejumlah 402,000 pil kuda dan 960 kilogram ganja yang disyaki cuba diseludup ke Malaysia.

Ketua Polis Wilayah Sempadan Selatan, Pattanawut Angkanawin berkata, suspek pertama ditahan dua hari lepas susulan penemuan 402,000 pil kuda dalam sebuah lori di pusat pemeriksaan di Takbai pada 11.30 malam waktu tempatan.

“Suspek memaklumkan pil kuda itu milik suspek kedua dan sepatutnya dibawa ke Sungai Golok. Polis menganggarkan pil kuda itu bernilai 20 juta Baht (kira-kira RM2.5 juta),” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Gabenor Narathiwat, Sittichai Sakda.

Suspek pertama berusia 32 tahun mengaku beliau diupah 25,000 Baht (kira-kira RM3,125) untuk menghantar dadah itu ke Sungai Golok.

Pattanawut berkata, polis turut menemukan 960 kilogram ganja selepas menggeledah rumah suspek kedua yang terletak di Sakhon Nakhon.

Menurutnya, kedua-dua suspek merupakan anggota rangkaian pengedaran dadah milik seorang pengedar dadah terkenal di selatan Thailand dan percaya kesemua dadah yang dirampas itu akan diseludup ke Malaysia. – BERNAMA, 17 Jun 2017.

%d bloggers like this: