Tukar Pasukan Baharu Terajui FGV

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, jawatan Pengerusi dan keseluruhan Lembaga Pengarah Felda Global Ventures Bhd. (FGV) patut ditukar kepada pasukan baharu yang lebih layak untuk menerajui badan konglomerat bumiputera itu.

Beliau berkata, banyak lagi pihak yang lebih berkemampuan untuk diangkat bagi mengemudi FGV yang mana krisis dalamannya kini telah memeningkan kepala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, kemelut antara Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan tidak akan timbul jika sebarang permasalahan diselesaikan pada peringkat awal lagi.

“Prinsip dasar dalam pentadbiran korporat adalah akauntabiliti, tanggungjawab Lembaga Pengarah adalah memantau pengurusan dan jika berlaku masalah mereka juga perlu bertanggungjawab dan bukan tiba-tiba menyalahkan orang itu dan ini.

“Sekarang ini biarlah penyiasatan berjalan, tapi kalau saya, bila sudah jadi ribut-ribut begitu, tukar sajalah, cari pasukan baharu.

“Anda nak kata orang-orang ini betul pun, kalau betul semua tidak ada lah jadi ribut macam itu. Ini sampai hiruk pikuk begini, Perdana Menteri pun sudah pening kepala.

“Beliau (Perdana Menteri) letak orang itu yang diharap menjaga baik FGV, tapi jadi kecoh, saham jatuh dari RM4.50 kepada RM1.70, banyak orang kata ini rugi atas kertas, kalau begitu kamu juallah saham, tengok rugi kertas atau rugi duit,” katanya.

Tajuddin diminta mengulas gesaan agar Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berundur bagi memberi laluan kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menggalas jawatan dalam syarikat itu. – 17 Jun 2017.