Kelantan Agih Kuih Raya Kepada Pasukan Keselamatan

Kerajaan PAS Kelantan hari ini mengagihkan sumbangan 13,200 bungkusan kuih raya kepada lebih 15 pasukan keselamatan dan beruniform.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sumbangan tersebut adalah sebagai penghargaan kepada anggota yang bertugas pada musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

“Setiap agama pentingkan keselamatan justeru tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman ini sangat dipandang mulia.

“Tugas mereka ini adalah satu daripada cabang jihad dan kita mendoakan agar pengorbanan mereka diganjari Allah.

“Cenderahati kita ini walaupun kecil tetapi ia sebagai tanda ingatan kepada semua pasukan yang bertugas sama ada yang menjaga keselamatan jalan raya, sempadan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Kuih Raya daripada Kerajaan Negeri kepada Pasukan Keselamatan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Antara pasukan yang menerima sumbangan kuih raya adalah polis, tentera, Kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lain-lain.

Sementara itu, Ahmad turut menasihatkan perantau agar berhati-hati ketika memandu dalam perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Gunakan jalan alternatif untuk elak kesesakan, kita mahu semua selamat dan gembira pulang ke kampung,” katanya. – 18 Jun 2017.