Pantai Timur Cadang Buka Tiga Lagi Cawangan Di Kelantan

Kumpulan Pantai Timur Sdn. Bhd. (Pantai Timur) mahu memperluaskan rangkaian perniagaannya di Kelantan dengan membuka tiga lagi cawangan pasar raya iaitu di Jelawat, Machang dan Gua Musang tahun depan.

Pengarah Urusannya, Cheah Meow Lim berkata, dengan penambahan tiga cawangan itu akan memudahkan penduduk luar bandar mendapatkan barangan keperluan masing-masing.

“Kami bercadang untuk  membuka dua atau tiga lagi penambahan pasar raya yang kini dalam proses mengenal pasti lokasi sesuai dengan penduduk di luar bandar.

“Setakat ini, kami sudah mempunyai 14 cawangan di Kelantan dan kami mensasarkan untuk mempunyai sekurang-kurang 17 cawangan bagi memperkuatkan lagi rangkaian perniagaan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim dengan kerjasama Nestle, di Bandar Baru Pasir Mas.

Seramai 100 anak yatim sekitar Pasir Mas diraikan dalam majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan hari raya dari Nestle yang disampaikan Pegawai Eksekutifnya, Beh Poy Lay.

Pantai Timur kini mempunyai 45 pasar raya di beberapa negeri termasuk Terengganu, Kedah dan Selangor. – 17 Jun 2017.