Serangan Tidak Berasas, Rosmah Akan saman

Datin Seri Rosmah Mansor akan mengeluarkan saman ke atas sesiapa yang melakukan serangan tidak berasas terhadapnya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui pasukan undang-undang Messrs Noor Hajran Mohd. Noor, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata, beliau kerap menjadi sasaran tuduhan tidak berasas yang berniat jahat.

“Serangan ini adalah tuduhan palsu yang dibuat tanpa sebarang bukti atau asas dengan niat yang jahat dan menjatuhkan reputasi beliau.

“Kami sedang memantau semua posting yang dikongsikan di laman sosial dan sebarang bentuk penerbitan lain yang berkaitan dengan serangan palsu serta berniat jahat terhadapnya,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut memberi amaran kepada orang awam agar tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh mengelirukan masyarakat dan memutar belit fakta.

“Lebih spesifik, penerbitan dan posting yang dibuat tanpa sumber yang sah dan tidak berasas bagi menyemai kebencian serta bersifat serangan politik,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, sebarang  entri yang membawa maksud tersebut akan berdepan dengan tindakan undang-undang. – 17 Jun 2017.