Wajib Beroperasi Pada Hari Raya Pertama

Pengusaha stesen minyak di Kelantan diwajibkan beroperasi pada hari raya pertama Aidilfitri nanti.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan, Datuk Ab. Ghani Harun berkata, ia bagi mengelak para pengguna terutama perantau berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan bahan api itu ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.

Beliau berkata, PPDNKK Kelantan akan mengeluarkan surat kepada semua pengusaha stesen minyak di negeri itu mengenai perkara tersebut.

“Kita harap pengusaha stesen dapat memberikan kerjasama dalam hal ini.

“Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan menyita premis mereka sekiranya ingkar dengan arahan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2017 di Pasir Mas hari  ini. – 18 Jun 2017.