FGV: Pelantikan Sulaiman Kembalikan Keyakinan Peneroka

PAS menyokong tindakan kerajaan melantik Pengarah Bukan Eksekutif Bebas, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob sebagai pemangku Pengerusi Felda Global Ventures (FGV) menggantikan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang bersetuju melepaskan jawatan sebagai Pengerusi FGV.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya berharap pelantikan atau perubahan itu dapat membina semula keyakinan peneroka terhadap masa hadapan Felda.

Beliau berkata, krisis yang berlaku kini adalah malapetaka yang besar buat Felda dan kerajaan perlu bertindak segera untuk menyelesaikannya.

“PAS mengalu-alukan sebarang tindakan untuk menukar Mohd. Isa kerana bagi kita selagi kita tidak selesaikan punca masalah, maka masalah itu akan tetap di situ.

“Isu besar adalah untuk menyelamatkan 360,000 ladang Felda yang telah dicagar oleh FGV.

“Apabila saham Felda digantung, ia menimbulkan gambaran sangat negatif berbanding ketika ia dilancarkan, saya masih ingat ia digambarkan sebagai saham kedua terbesar di dunia selepas Facebook,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang akhbar Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) di sebuah hotel di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini mengumumkan pelantikan Sulaiman sebagai pemangku Pengerusi FGV berkuat kuasa serta-merta.

Mohd. Isa yang bersetuju melepaskan jawatan sebagai Pengerusi FGV dilantik sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangku­tan Awam Darat (SPAD) juga berkuat kuasa serta-merta. 
- 19 Jun 2017.