Media Berperanan Sebagai Pendidik – Ahmad Yakob

Pihak media bukan sahaja berperanan sebagai penyebar maklumat tetapi juga menjadi pendidik kepada masyarakat.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebagai contoh membabitkan isu sampah, media juga boleh membantu mendidik selain memberi kesedaran kepada mereka.

“Media perlu mendidik masyarakat secara berterusan kerana masyarakat suka mendengar dan menerima maklumat daripada media bertulis ini,” katanya pada Majlis Dialog dan Berbuka Puasa Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan Bersama Pengamal Media di salah sebuah hotel di Kota Bharu malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah; barisan Exco kerajaan negeri serta pengamal media cetak dan elektronik.

Tambah Ahmad, syarikat media perdana perlu lebih dipercayai dan diyakini oleh masyarakat agar mereka tidak bergantung dengan media baharu yang maklumat serta beritanya belum pasti kesahihannya.

“Kadang-kadang media baharu ini memuatkan berita-berita yang tidak betul dan berbaur fitnah. Jadi harapan masyarakat hanyalah kepada media cetak untuk mendapatkan maklumat tepat,” katanya yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS. – 18 Jun 2017.