Negara Bebas Wabak H5N1

Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengesahkan negara bebas daripada wabak penyakit Avian Influenza (H5N1).

Pengesahan itu dibuat hasil pemantauan yang dilaksanakan selama 81 hari sejak akhir Mac lalu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, laporan menyeluruh mengenainya akan dihantar kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia dalam kadar yang segera.

Menurutnya, tiada lokasi baru yang disahkan positif  selepas operasi pelupusan unggas selesai dijalankan di 36 lokasi yang sebelum ini disahkan positif H5N1.

“Operasi sekatan jalan raya turut diadakan di empat sempadan masuk ke negeri Kelantan membabitkan pemeriksaan 30,023 buah kenderaan.

“Hasil daripada pemeriksaan itu sebanyak 288 ekor unggas dirampas. Dan secara keseluruhannya Jabatan Perkhidmatan Veterina berjaya melupuskan 56,953 ekor ternakan unggas bersama 17, 531 biji telus di lokasi yang disahkan positif sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pusat sekatan jalan raya bersama anggota polis di Bukit Yong, Pasir Puteh.

Quaza Nizamuddin memberitahu, tiada ladang ternakan ayam komersil di dalam 10 kilometer radius kawasan pengesanan penyakit dikesan.

“Namun, langkah-langkah tambahan terus dikuatkuasakan termasuk pembasmian kuman di premis yang dijangkiti, kawalan pergeralan, pembendungan kes penyeludupan dan kuarantin zon jangkitan,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun pemantauan di jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tumpat, Tanah Merah dan Bachok diteruskan untuk mengekang kemungkinan kes baharu. – 18 Jun 2017.