Pakatan Harapan Beri Mesej Buruk – Mohd. Amar

Sikap parti-parti dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP berebut jawatan Perdana Menteri memberikan mesej buruk kepada rakyat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, matlamat sebagai parti pembangkang sepatutnya untuk menukar kerajaan dan bukannya berbalah soal orang yang layak sebagai Perdana Menteri.

Justeru katanya, PAS yang kini menerajui blok baharu pembangkang tidak pernah berbincang perkara itu dengan sekutunya biarpun pada asasnya PAS mempunyai keutamaan.

“Kita tidak sebut atau tentukan siapa-siapa jadi Perdana Menteri kerana yang penting sekarang adalah maksimumkan usaha menumbangkan kerajaan sedia ada.

“Sekarang kita nampak (Pakatan Harapan) tidak berapa baik, PKR mahu orang dia, begitu juga PPBM, rakyat lihat masing-masing berebut jawatan nak jadi Perdana Menteri, itu adalah mesej tidak baik kepada rakyat,” katanya. – 18 Jun 2017.