Ramadan, Tahanan Anugerah Tidak Ternilai Episod 2: Coca Cola Dan Rokok Kent

Pada hari ke 18 berpuasa pada Ramadan 2008, setelah lewat 4 jam dari jadual asal, akhirnya saya dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu. Kelewatan itu bertujuan mengelak dari bertembung dengan orang ramai yang berhimpun sejak awal pagi di Mahkamah bagi menyatakan simpati terhadap penahanan saya.

Pihak polis arahkan saya memakai pakaian tahanan lokap untuk ke mahkamah tetapi saya berkeras untuk memakai pakaian semasa saya ditahan.

“Kalau isteri saya tengok saya pakai baju lokap, dia akan nangis dan saya akan nangis, kawan-kawan saya nanti akan kata kamu pukul saya. Mereka akan marah,” lebih kurang begitulah kata-kata saya semasa berlaku sedikit pertengkaran di balai. Akhirnya pihak polis mengalah.

Tiba di Mahkamah, orang pertama saya nampak ialah isteri saya. Dia tenang. Saya tahan airmata. Hero mana boleh nangis, kata saya dalam hati. Melihat puluhan sahabat yang masih setia menanti, saya lega. Saya tahu saya ada kawan menangis.

Ustaz Zaidi Salor sempat berbisik satu zikir sebelum saya masuk ke kamar Majistret. YB Husam, YB Latif Ketua Pemuda, YB Abe Tah Bukit Tuku, Haji Hashim, Khir dan Roseli Tok Kenali, semua ada.

Kata Haji Hashim, zikir Ustaz Zaidi beri kalau dibaca kemudian dirembaskan gari ditangan saya tu, gari itu akan tercabut. “Nak cuba gak, acu la try… mana tau jjadi,” Kata abe Haji, kalau tidak salah ingatan saya. Tapi saya tak cuba.

Majistret yang mengendalikan kes saya ialah YAM Tengku Amalin A’isyah Putri. Melihat Tengku Amalin memandang Dato’ Husam dan tersenyum, saya sedikit lega.

Pihak polis memohon tahanan reman selama tujuh hari. Mahkamah dimaklumkan ada 36 polis report terhadap saya di seluruh Malaysia. Saya ditahan atas report yang dibuat oleh seorang pegawai polis.

Tengku Amalin kemudian bersuara, “Orang kena tahan ada kena pukul, kena dera dalam tahanan?”

“Tiada Yang Arif”. Tengku Amalin tersenyum dengan jawapan saya. Dia Majistret, bukan yang arif.

“Yang arif, maaf Puan, Ku, patik nak mohon kebenaran address the court”, kata saya.

“Sila”, jawab Ku Amalin.

“Ku, waktu patik ditahan, patik tidak dimaklumkan tujuan penahanan patik atau atas kesalahan dan apa caj ke atas patik. Pihak polis kata nak bawak patik terus ke KL, tapi patik ditipu. Tiba-tiba mereka kata mereka kena balik KL dulu dan tinggal patik semalaman di KB.

“Kalau mereka betul balik KL semalam, kenapa tak bawa patik,”

Pada waktu ini, pegawai dari PDRM Kontijen Kelantan yang membawa kes saya bagi pihak yang menahan saya mencelah. Tetapi saya hanya ingat, Tengku Amalin mohon saya teruskan.

“Ku, kalau tujuan penahanan patik untuk disoal siasat, maka patik tidak perlu ditahan. Blog Kickdefella memang milik patik. Gambar dan nama penuh patik memang ada dalam blog itu. Patik memang mengaku pemilik sah blog itu dan sehingga hari ini hanya patik yang ada akses dalam blog itu. Patik tidak tahu kenapa patik ditahan, tetapi kalau kerana blog itu, maka boleh dakwa terus patik. Patik bertanggungjawab penuh atas segala kandungan dalam blog dan pada bila-bila masa sentiasa bersedia beri kerjasama bahkan berdepan undang-undang. Tak ada sebab patik ditahan…”

“Tapi kalau Ku fikir patik perlu ditahan, maka patik nak minta dua perkara,”

“Sila nyatakan dua perkara tu” titah Tengku Amalin.

“Ku, akibat berpuasa, paras gula dalam darah patik selalu rendah, jadi patik mohon berbuka dengan coca cola.

“Pegawai sila ambil maklum, sediakan coca cola,” arah Tengku Amalin.

“Kedua Ku, patik nak mohon dibenarkan hisap rokok semasa dalam tahanan…” Ku Amalin tersenyum.

“Pegawai mungkin boleh bincang dengan in charge lokap.” Tengku Amalin kemudian mengarahkan saya direman untuk 24 jam. Cukup masa untuk saya dibawa keluar dari Kelantan.

Saya dibawa sekali lagi kehadapan Majistret di Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur keesokkannya sebaik tempoh reman saya tamat.

Waktu itu saya diwakili oleh peguam Amritpal.

Sekali lagi pihak polis mohon tahanan reman saya dilanjutkan selama 7 hari.

“Puan, anak guam saya sudah maklumkan bahawa dia tidak akan beri apa-apa keterangan melainkan dihadapan Hakim sekiranya dia didakwa. Oleh demikian, tiada sebab untuk melanjutkan tempoh tahanan…”

“Tambahan pula Puan, pegawai penyiasat yang ditugaskan menyiasat kes anak guam saya kini sedang bercuti. Pada pandangan saya tidakkah mahkamah merasa adalah sesuatu yang aneh, bila anak guam saya ditahan, tetapi tiada siasatan dibuat kerana pegawai penyiasat pergi bercuti?”.

Majistret Faidzlin Suraya meminta Ketua Inspektor Azuan memberi penjelasan.

“Puan, saya tidak ada bantahan terhadap permohonan peguam orang kena tahan,” kata Ketua Inspektor Azuan.

“Tetapi saya khuatir, orang kena tahan boleh ditahan semula sebaik mahkamah membebaskannya,”

“Ada apa-apa yang diperlukan dari orang kena tahan,” tanya Majistret.

“Kami perlu ambil ujian air kencing, itu prosedur terhadap setiap tahanan, ujian dadah dalam air kencing,”

“Prosedur ni boleh selesai petang ini,”

“Akan dibuat segera selepas ini, puan,”

“Kalau begitu saya lanjutkan perintah sehingga selesai prosedur petang ini, boleh?” Tanya Majistret.

“Puan, setiap orang kena tahan perlu dihantar semula ke lokap sebelum pukul enam. Jadi saya khuatir tidak sempat selesaikan paperwork sebelum pukul enam…” Kata Ketua Inspektor Azuan.

Dan dengan itu, perintah reman saya dilanjutkan untuk tempoh 24 jam lagi.

Walaupun coca cola saya dirampas oleh ketua lokap Dang Wangi dan saya tidak diberi akses kepada coca cola sepanjang tahanan, tetapi setiap tiga empat jam, saya akan dibawa ke belakang lokap oleh anggota bertugas untuk menghisap rokok.

Sepanjang tiga empat kali hisap rokok di tepi longkang belakang lokap polis balai lama Dang Wangi, saya memahami jerih perit kehidupan anggota polis berpangkat rendah.

Banyak yang mereka kongsikan bersama saya. Dan yang paling manis, bila saya diminta menunjukkan cara untuk membuka blog dan anggota itu kemudiannya memiliki blog sendiri. Saya gembira kerana dapat begitu ramai kawan dikalangan anggota polis.

“Maaf cik, saya terpaksa menjalankan tugas” itulah kata-kata mereka selalu.

*Artikel ini ditulis oleh Dato’ Syed Azidi yang dipetik terus dari laman Facebooknya Syed Azidi.