Cadangan GST 6% Lebih 60 Makanan Dibatalkan

 

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengumumkan pembatalan cadangan kerajaan untuk mengenakan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas lebih 60 makanan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Subromaniam Tholasy berkata, pembatalan itu dilakukan selepas perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi mendapatkan maklum balas mengenai cadangan tersebut.

“JKDM telah merujuk perkara ini dengan Kementerian Kewangan untuk maklum balas dan telah membuat keputusan supaya P.U (A) 162 Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) (Pindaan) (No.2) 2017 dibatalkan.

“Justeru JKDM memohon kerjasama semua pihak supaya mengambil maklum tentang perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Subromaniam dipetik sebagai berkata, lebih 60 barang makanan akan dikenakan GST termasuk beberapa jenis makanan laut, sayur-sayuran, buah-buahan, teh, kopi, rempah dan mi berkuat kuasa 1 Julai ini.

Kerajaan memperkenalkan GST enam peratus ke atas barangan dan perkhidmatan pada April 2015. – 19 Jun 2017.