Cina Muslim Serikan Malaysia #QuranHour

Meskipun terdapat dalam kalangan ahli Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Kelantan yang baharu memeluk agama Islam namun mereka tetap bersemangat menyertai Malaysia #QuranHour di pejabat persatuan itu di Jalan Sultan Yahya Petra semalam.

Walaupun masih baharu, mereka juga dilihat tidak berputus asa mengikut sama membaca ayat-ayat suci al-Quran yang diketuai imam persatuan tersebut, Khairul Ehsan Abdullah.

Pengerusi MACMA negeri, Johari Yap Abdullah berkata, program kali kedua yang diadakan itu memberi ganjaran berlipat kali ganda khususnya pada bulan Ramadan.

Beliau berkata, matlamat pihaknya adalah ingin melihat semua ahli berdamping dan menjadi al-Quran sebagai panduan hidup.

“Kita tidak mahu mereka terkapai-kapai apabila memeluk Islam. Mereka hari ini bukan sahaja dapat pahala mengaji malah turut mendapat pahala belajar,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.

Lebih 100 peserta menyertai program yang bermula tepat pukul 12 tengah hari itu. – 19 Jun 2017.