Ijtimak Tangani Fahaman Ekstremis

Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia Kali Ke 4 yang bakal berlangsung di Kota Bharu, Kelantan dijangka akan disertai 100,000 penggerak dakwah dan gerakan Islam dari dalam dan luar negara.

Ijtimak tersebut dijadual berlangsung pada 20 hingga 22 Julai ini.

Pengerusi Bersama, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, program anjuran Kesatuan Ulama Sedunia dengan kerjasama Kerajaan PAS Kelantan itu bertujuan mencari resolusi bagi menangani isu fahaman ekstremis ISIS, Daeish dan juga liberalisme.

Beliau berkata, penganjuran program itu amat penting dalam suasana negara Islam yang sedang dilanda kemelut di Asia Barat khususnya Qatar yang menghadapi tekanan pelbagai negara selain masalah Islamophobia.

“PAS menentang sebarang gerakan ekstremis yang mensasarkan masyarakat awam yang langsung tidak kena mengena dengan kemelut yang berlaku.

“Namun gerakan untuk menolak Islam yang sederhana juga kuat daripada golongan Islam Liberal di mana golongan kiri ini menjadi masalah dan ancaman kepada Islam.

“Kita harap ijtimak ini akan menjurus kepada satu pelan tindakan bagaimana menangani isu tersebut dan membina persepsi baharu terhadap gambaran Islam yang sebenar khususnya di negara bukan Islam,” katanya.

Tuan Ibrahim memberitahu, sempena ijtimak tersebut, tiga program utama akan berjalan serentak di beberapa lokasi termasuk Stadium Sultan Muhammad IV iaitu Konferens Dakwah Antarabangsa Rantau Asia; Nadwah Ulamak Antarabangsa Rantau Asia dan Ijtimak Kelantan 2017.

“Antara ulama yang dijemput adalah tokoh antarabangsa Dr. Yusof Al Qaradawi selain tokoh besar Islam dari negara serantau seperti Indonesia, Brunei, Thailand dan India,” jelasnya. – 19 Jun 2017.