Tinggalkan DAP Dan PAN

PAS sedia menjalinkan kerjasama dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sekiranya kedua-dua parti itu meninggalkan Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, PPBM serta PKR perlu memutuskan hubungan dengan DAP dan PAN sekaligus membayangkan gabungan pembangkang berkenaan akan menjadi semakin kuat tanpa melibatkan kedua-dua parti tersebut.

“Kita membuka ruang pada semua kecuali DAP dan PAN sahaja. Kita yakin tiga parti ini (PAS, PKR dan PPBM) jika bergabung potensi untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) semakin cerah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar berkata, PAS dan kerajaan Pusat telah mengadakan perbincangan mengenai persediaan menghadapi perbahasan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) yang akan berlangsung pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.

Katanya, perbincangan tersebut antara lainnya adalah bagi memastikan perbahasan yang dijangka mendapat tentangan hebat daripada Pakatan Harapan diketuai DAP itu berjalan dengan lancar.

Bagaimanapun ujar beliau, pihaknya tidak boleh mendedahkan secara terperinci butiran perbincangan tersebut pada masa ini.

“Berhubung RUU 355, sebenarnya kita sudah ada perbincangan dengan kerajaan Pusat. Pada masa ini, masih terlalu awal menceritakan mengenai perbincangan tersebut.

“Kita mahu memastikan sesi perbahasan nanti berjalan dengan lancar dan berharap perlaksanaan RUU 355 itu dapat menjadi kenyataan,” katanya. – 19 Jun 2017.