CUEPACS Mohon Kenaikan Gaji Asas Penjawat Awam

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji asas penjawat awam sebanyak tiga peratus dalam Bajet 2018.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, kenaikan itu akan membantu meringankan beban 62,000 penjawat awam dalam kategori B40 yang berdepan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kenaikan kos sara hidup meningkat sebanyak lapan peratus dan keadaan itu menjadi antara faktor penjawat awam berpendapatan rendah dibelenggu hutang.

“Sebab itu kita mahu cadangan kenaikan gaji ini diberi perhatian sewajarnya demi memberi kelegaan kepada penjawat awam terutamanya mereka yang berada ditahap gaji minima RM1,200 sebulan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan kongres kesatuan itu.

CEUPACS turut menyarankan agar kerajaan mengkaji semula beberapa insentif seperti Elaun Perkhidmatan Awam (COLA), Elaun Kenderaan dan Elaun Wilayah yang tidak dikaji dan diperbaharui kadar bayarannya sejak sekian lama.

“Ketika ini kadar elaun COLA yang diterima penjawat awam adalah berbeza-beza dan kita mahu ia dilihat semula dan diselaraskan ,” katanya.

Dalam pada itu, Azih menyatakan kekesalan kerana CEUPACS tidak dijemput bagi menyertai sesi konsultasi bajet yang diadakan bersama-sama Perdana Menteri baru-baru ini, sekali gus ia tidak dapat menyuarakan pandangan kesatuan itu bagi pihak penjawat awam.

Katanya, sebagai satu badan yang mewakili 1.6 juta penjawat awam, CEUPACS berharap dijemput bagi menyampaikan suara pihak yang diwakilinya. – 20 Jun 2017.