FGV: SPRM Rekod Keterangan Isa Hari ini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil keterangan bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Isa Samad berhubung kemelut dalam syarikat senaraian awam itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan, Mohd. Isa dan isterinya Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid akan berada di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 10 pagi Rabu.

Kemelut FGV mendapat perhatian apabila Mohd Isa dan lembaga pengarahnya mengarahkan  Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO), Ahmad Tifli Mohd Talha, bercuti bermula 6 Jun lalu.

Selain Zakaria dan Ahmad Tifli, dua lagi eksekutif yang turut diarah bercuti adalah Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan CEO FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Susulan itu, SPRM juga memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam syarikat itu.

Pada 19 Jun, Mohd Isa meletakkan jawatan.

Susulan itu, kerajaan telah melantik Tan Sri Sulaiman Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi FGV berkuat kuasa serta-merta. – 20 Jun 2017.