Nyaris Maut Kereta Terbakar

Enam sekeluarga nyaris maut apabila kereta dinaiki mereka tiba-tiba terbakar selepas membeli belah di sebuah pasar raya di Kubang Kerian petang semalam.

Kemalangan itu sekali gus memusnahkan persiapan keluarga terbabit yang baru pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

Pensyarah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak, Izuraida Hairun, 37, berkata, Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.15 petang ketika mahu pulang ke rumah keluarga mertua di Panji selepas membeli belah di pasaraya berkenaan.

“Saya nampak api keluar di sebelah bawah bahagian kiri kereta iaitu betul-betul tempat saya duduk di hadapan bersama anak bongsu berusia dua tahun.

“Saya terus keluar sambil mendukung anak tanpa menghiraukan beg tangan, mujurlah ada orang tolong ambilkan.

“Suami saya pula membawa keluar tiga lagi anak berusia lima, tujuh dan 11 tahun yang kaku dan menangis kerana terkejut,” katanya.

Orang ramai yang berada di kawasan itu cuba memadamkan api yang marak sebelum bomba tiba pada pukul 3.40 petang.

Dia memberitahu, berikutan kejadian itu, semua pakaian raya anaknya bernilai kira-kira RM2,000 yang baharu dibeli di Kuala Lumpur hangus terbakar.

“Biarlah segalanya terbakar yang penting nyawa anak- anak selamat,” katanya. – 20 Jun 2017.