Bekalan Ayam Cukup, PPDNKK Jamin Harga Terkawal

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri Kelantan menjamin harga ayam di pasaran tidak akan melambung tinggi pada musim perayaan ini.

Pengarahnya, Datuk Ab. Ghani Harun berkata, pihak pemborong ayam negeri itu telah bersetuju untuk mematuhi harga kawalan ditetapkan selama 14 hari dari 17 Jun hingga 30 Jun ini.

Beliau berkata, harga maksimum ayam hidup ditetapkan pada RM5.70 sekilogram (borong) dan RM6.20 sekilogram (runcit) manakala ayam yang sudah disembelih dan dibersihkan pula ditetapkan RM6.70 sekilogram (borong) dan RM7.50 (runcit).

“Kita akan pastikan kejadian tahun lalu tidak akan berulang, harga ayam dijual sehingga RM100 bagi tiga ekor.

“Kita sudah mendapat jaminan daripada pemborong bahawa bekalan ayam mencukupi dan mereka berjanji tidak akan bersekongkol dengan peruncit yang mahu mengambil kesempatan menjual dengan harga terlalu mahal.

“Kita akan letakkan pegawai pemantau di semua pasar utama dan tidak akan benarkan peruncit menjual secara longgok serta mewajibkan mereka menggunakan penimbang,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan 50 pembekal ayam dari seluruh negeri Kelantan di pejabatnya. –

Beliau memberitahu, PPDNKK akan menempatkan pegawai penguatkuasa di seluruh pasar bagi memantau kawalan harga itu dan tidak akan teragak-agak untukmengambil tindakan ke atas peniaga yang tidak mematuhi peraturan.

“Kita juga akan ambil tindakan ke atas peniaga yang tidak mempunyai alat timbang, tidak mahu menimbang ayam ataupun menjual secara longgok.

“Kompaun akan dikenakan dan mereka juga boleh didakwa di mahkamah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu PPDNKK Kelantan telah membeku cuti pegawainya bagi memastikan pemantauan berkesan harga barangan keperluan pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Katanya, seramai 210 pegawai termasuk pegawai pemantau harga akan bertugas khususnya di pasar-pasar tumpuan seluruh negeri untuk memantau aktiviti peniaga. – 21 Jun 2017.