Faiz Semakin Stabil, Dijangka Keluar ICU

Pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi yang terlibat dalan kemalangan awal Ramadhan lalu, Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir, 17, dijangka keluar daripada Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) esok (hari ini).

Bapanya, Mohd Izahir Kassim, 49, berkata, kini anaknya itu tidak lagi menggunakan bantuan alat pernafasan untuk bernafas.

“Faiz masih separuh koma tetapi sekarang sudah boleh bernafas menggunakan kekuatan sendiri.

“Doktor beritahu kalau keadaan Faiz berterusan stabil, Insya Allah esok dia boleh keluar ICU dan pindah ke wad lain.

“Hari Raya Aidilfitri ini jatuh pada tarikh sama kelahiran saya, saya harap dapat menyambutnya bersama Faiz dalam wad biasa,” katanya.

Muhammad Faiz Hafizuddin adalah salah seorang daripada 14 pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi yang terlibat dalam kemalangan van terbabas di Kampung Telekong, Kuala Krai sehingga meragut tujuh nyawa rakannya pada 2 Jun lalu.

Akibat kemalangan itu, remaja yang sudah berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk Al Quran ini mengalami kecederaan parah pada tulang belakang, luka paru-paru dan pendarahan dalam kepala.

Pada 13 Jun lalu, dia menjalani pembedahan memasukkan alat atau skru bagi mengikat tulang belakangnya yang patah pada dua tempat – 21 Jun 2017.