Hubungan Erat Pusat, Kelantan Manfaat Kepada Rakyat

Hubungan dan kerjasama antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan PAS Kelantan yang semakin erat sejak akhir-akhir ini banyak memberi manfaat kepada rakyat negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, biarpun berbeza politik namun, hubungan tersebut memudahkan kerajaan Pusat menyalurkan bantuan serta melak­sanakan pelbagai pemba­ngunan.

“Kita hanya mempunyai satu matlamat iaitu membaiki dan membawa perubahan di negeri ini. Sekarang kita berada di landasan betul seterusnya rakyat mendapat limpahan nikmat.

“Sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang kita akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan pelbagai masalah,” katanya ketika berucap dalam majlis Dialog dan Makan Colek Bersama Media Kelantan di Kota Bharu.

Hadir sama, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Hanafi Mamat; Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Datuk Abdul Aziz Derashid; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Yahya Mamat dan 75 pengamal media di negeri itu.

Dalam majlis tersebut, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan dan beramah mesra dengan wakil-wakil media.

Mengulas lanjut, Mustapa ber­kata, agensi-agensi kerajaan digesa menjalinkan kerjasama erat dengan pihak media bagi memudahkan segala maklumat disalurkan kepada rakyat.

“Masyarakat perlu mendapat maklumat yang tepat bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan media baharu yang maklumatnya belum tentu sahih.

“Orang ramai kalau tidak mendapat maklumat tepat, mereka akan mudah percaya dengan pelbagai fitnah. Jadi saya harap kedua-dua pihak dapat memainkan peranan dengan berkesan,” katanya. – 21 Jun 2017.