KKLW Memperuntukkan RM23 Juta Bina Jalan Perhubungan Desa

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah memperuntukkan RM23 juta untuk pembinaan Jalan Perhubungan Desa (JPD) di Kelantan tahun ini.

Timbalan Menteri KKLW, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, daripada peruntukkan tersebut, pihaknya menyasarkan pembinaan keseluruhan JPD sepanjang 25 kilometer (km) yang membabitkan 597 projek.

Menurutnya, sehingga hari ini, sepanjang lapan km JPD telah berjaya disiapkan untuk kemudahan penduduk termasuk 2.1 km di Kampung Tok Kaya, Machang.

“Untuk tahun lalu, KKLW telah menyediakan peruntukkan sebanyak RM20 juta dengan sasaran awal sepanjang 24 km.

“Walaubagaimanapun, kita berjaya menyiapkan sepanjang 30 km dengan 501 projek keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jalan Perhubungan Desa (JPD) di Kampung Tok Kaya.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, pihaknya akan berusaha untuk menyediakan akses jalan untuk ke seluruh kawasan-kawasan desa serta pedalaman di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Pihak kementerian tidak pernah meminggirkan mana-mana kawasan kerana kita meluluskan peruntukkan yang sama untuk JPD di semua kawasan tanpa mengira fahaman politik.

“Peruntukan asas yang kita berikan di peringkat awal ialah sebanyak RM1 juta setiap parlimen. Kita mahu semua jalan di negara ini mempunyai akses,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Tok Kaya, Armizi Othman,37, meluahkan rasa gembira apabila berpeluang menikmati kemudahan jalan yang lebih selesa.

“Kami amat berterima kasih kepada Timbalan Menteri KKLW, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang begitu prihatin dengan masalah jalan yang dialami oleh penduduk di sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Hafi Daud, 67, berkata, JPD ini telah memberi kemudahan kepada penduduk untuk keluar ke pekan.

“Sebelum ini, keadaan jalan di sini banyak mengalami kerosakan sehingga ada kemalangan yang berlaku.

“Namun bila JPD ini sudah siap, ia banyak memberi keselesaan kepada kami. Terima kasih kami ucapkan kepada pihak KKLW,” katanya. – 24 Jun 2017.