Trafik Bergerak Perlahan

Aliran trafik dilaporkan bergerak perlahan di beberapa kawasan di lebuh raya utama berikutan masih ramai dalam perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri yang dijangka disambut esok (Ahad).

Menurut jurucakap Pusat Kawalan Trafik Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), aliran trafik ke utara di Lebuhraya Utara-Selatan sesak dari Sungai Buaya ke Bukit Beruntung, Bukit Beruntung ke Bukit Tagar dan Bukit Tagar ke Lembah Beringin.

Aliran trafik juga bergerak perlahan dari Lembah Beringin menuju ke Tanjung Malim dan seterusnya ke Behrang setakat 9 pagi hari ini.

Keadaan sama juga dilaporkan di kawasan Slim River menuju ke Sungkai, Sungkai ke Bidor, Bidor ke Tapah, Tapah ke Gua Tempurung, Gopeng ke Simpang Pulai, Jelapang ke Tanjung Menora dan Tanjung Menora ke Sungai Perak.

Jurucakap itu berkata, aliran trafik arah Selatan pula hanya sesak dari Nilai ke kawasan Rehat dan Rawat Seremban.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia berkata aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur hanya perlahan di kawasan Gombak ke arah Bentong.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twittercom/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMinfotrafik. – 24 Jan 2017.