Umat Islam Sambut Aidilfitri Esok

Umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok.

Perkara itu diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, sebentar tadi.

Pengumuman itu disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Ahad, 25 Jun 2017,” katanya.

Majlis Raja-Raja mempersetujui cara menetapkan tarikh Aidilfitri adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).

Warga sokmo.net turut mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat di seluruh negara, maaf zahir dan batin. – 24 Jun 2017.