Kejadian Litar Pintas Sebelum Khutbah Aidilfitri

Suasana di Masjid Al-Mubin Kampung Teluk Pauh Panji, Kota Bharu, Kelantan kecoh apabila berlaku kebakaran disebabkan litar pintas.

Kejadian berlaku sebelum khutbah Aidilfitri disampaikan khatib selepas solat sunat Aidilfitri pagi semalam.

Rakaman detik cemas berdurasi 10 saat itu menjadi tular di laman sosial menyaksikan jemaah bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.

Turut kedengaran bunyi letupan kecil dan percikan api di dalam masjid tersebut.

Menurut maklumat yang dikongsi pengguna Facebook Putera Kelatan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Selepas selesai solat sunat Aidilfitri, tak sempat nak baca khutbah, tiba-tiba berlaku litar pintas dekat meter elektrik. Semuanya selamat.

“Kami bagi pihak masjid memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku. Pendawaian dalam proses lagi. Terima kasih kepada pihak bomba kerana dapat menyelamatkan kebakaran tadi,” katanya. – 26 Jun 2017.