Ramadan, Tahanan Anugerah Tidak Ternilai Episod 3: Dan Hero Pun Menangis

Arwah ayah selalu berkata, kesilapan British ialah bila mereka penjarakan Gandhi. Mereka jadikan Gandhi hero kebangsaan.

Sepanjang tahanan ringkas saya, saya belajar satu perkara. Penderaan mental ada kalanya terlalu menyeksakan. Mereka tidak perlu jentik kita pun. Hanya tinggalkan kita seorang diri, dalam gelap tanpa tahu siang atau malam sudah cukup untuk akhirnya membuat kita jadi mental.

Pada malam terakhir di dalam bilik kecil gelap itu, saya mula dengan berzikir, kemudian saya menyanyi lagu puisi Doa oleh Chairil Anwar.

“Tuhanku, dalam termanggu, ku sebut namaMu

biar susah sungguh, mengingat kau, penuh seluruh

Tuhanku aku hilang bentuk, kembara di bumi asing

Tuhanku, pintuMu ku ketuk, aku tak bisa berpaling”

Dan untuk sebab yang saya sendiri tidak tahu, saya hantukkan kepala ke dinding berkali-kali. Mungkin kerana terpengaruh dengan filem-filem yang saya tengok sebelum ini. Hmmm.

Esok pagi saya akan kembali menghirup kebebasan. Itu kata saya. Baru empat hari, bagaimana dengan mereka yang ditahan bertahun-tahun. Ini baru ujian kecil. Jangan panggil saya pejuang, jangan panggil saya hero. Baru empat hari dah hantuk kepala ke dinding.

Lemahnya diri ini. Saya hanya satu penghinaan kepada mereka – pejuang sebenar.

Saya ingat ketika Sarjan Halim, bawa saya untuk ambik gambar ‘mud shot’. Macam dalam drama, saya di arah pegang papan yang tertulis nama dan nombor tahanan.

“Bro, boleh email saya salinan gambar ni?” Kata saya kepadanya.

“Eh, gilor. Mano bulih. Mu kelik buat sediri la!” Katanya marah. Sarjan Halim adalah orang Bunut Payung, Kelantan. Kemudiannya menjadi sahabat saya.

Pada hari saya hendak dibebaskan, Sarjan Halim buka lacinya di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, keluarkan sehelai tuala dan sabun dan berikan kepada saya. Kemudian dia membukakan gari saya dan bawa saya ke bilik air.

“Mandi puas puas, biar hensem. Pahni orang kapung nok kelih mung dale tibi” katanya.

Sebaik sahaja proses jaminan polis saya selesai, Pegawai penyiasat dari Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia tiba untuk bertemu saya.

Sedikit kekocohan berlaku apabila ‘rakan-rakan’ polis saya ingat Pegawai MCMC itu datang untuk menahan saya. Tetapi kekecohan itu tidak berpanjangan kerana dia hanya mahu mengambil keterangan saya.

“Depa very protective of you ya!” kata pegawai MCMC tu. “Tapi tak patut depa tahan you macam ni bro,”.

Pegawai MCMC tersebut pernah menyoal siasat saya di PWTC setahun sebelum itu apabila saya membantu siasatannya terhadap gambar fitnah yang dibuat oleh Tian Chua ke atas Dato’ Sri Najib, Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

‘Pembebasan’ saya tergendala untuk sejam kerana siasatan MCMC.

Selepas pegawai MCMC beredar, Ketua Inspektor Azuan, Sarjan Halim, Detektif Sabri dan Detektif Mahathir bertukar-tukar nombor telefon dengan saya.

“Nanti kelik rrayo, bulih kawe gi rumoh demo bro?” Tanya Halim.

“Takyah nanti rayo boh, bila bila ada KB gak singgahlah rumoh ambo,” jawab saya.

Saya juga berjanji untuk keluar makan dengan Mahathir dan Sabri bila saya datang ke KL selepas ini.

Kami berlima bertukar-tukar pelukan. Terasa macam hendak menangis pulak masa tu. Lalu menitislah air mata saya.

Sebelum saya melangkah keluar dari pejabat itu, Azuan cakap, “abang, kat luar tu banyak reporter tunggu. Nanti bila abang sampai dekat guard house, abang angkat dua-dua tangan macam menang pingat emas olimpik!”

Dan saya melangkah keluar sementara mereka beramai-ramai menonton aksi saya dari cermin tingkat atas bangunan itu.

Maka bila nampak para wartawan, saya pun angkatlah tangan tinggi-tinggi. Macam menang sukan olimpik.

“Boleh abang ceritakan pengalaman dalam tahanan?” Tanya seorang wartawan.

“Kejap, siapa perdana menteri sekarang?” Tanya saya.

“Pak Lah lagi bang” kata seorang wartawan lelaki sambil tersenyum.

“Ah saya nak masuk lokap balik lah” kata saya lalu berpusing dan berjalan masuk semula. Tapi abang dan kakak saya halang saya. Dan seret saya ke kereta.

*Artikel ini ditulis oleh Dato’ Syed Azidi yang dipetik terus dari laman Facebooknya Syed Azidi.