Ketepikan Hasrat Rebut Jawatan, Utamakan PRU-14

Ahli UMNO digesa memberi tumpuan terhadap persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bukannya ghairah berkempen bagi merebut jawatan atau kedudukan dalam parti.

Menurut Ahli Majlis Teringgi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed, pemilihan parti telah ditangguhkan, terdapat laporan secara lisan mengenai sikap segelintir ahli yang berkempen merebut jawatan secara terang-terangan

Tindakan itu tegas beliau, boleh menjejaskan usaha Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan dalam PRU-14 selain mendapatkan semula Kelantan.

“Semua pihak dinasihatkan tidak terlalu ghairah berkempen jawatan dalam parti.

“Keutamaan kita sekarang ialah memastikan kemenangan UMNO dan BN dalam pilihan raya dulu,” katanya ketika menghadiri Majlis Mesra Raya bersama hampir 10,000 perantau, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penjawat awam di RTC Tunjong.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki serta Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Yahaya Mamat.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dalam pada itu berkata, berdasarkan perkembangan semasa, rakyat di negeri ini dilihat semakin dapat menerima dengan baik kehadiran UMNO dan BN.

Sehubungan itu kata beliau, situasi itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh ahli parti untuk terus mendapatkan sokongan rakyat. – 28 Jun 2017.