Puteri UMNO Kota Bharu Dekati Perantau Wanita

Lebih 600 tetamu hadir dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kota Bharu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Jalan Telipot, hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, majlis itu merupakan sebahagian daripada usaha Puteri UMNO Kota Bharu dalam mendekati pengundi, khususnya wanita muda tempatan serta perantau.

Kata beliau, usaha gigih sayap parti itu amat membanggakan dan beliau berharap inisiatif Puteri UMNO Kota Bharu tersebut terus mendapat sokongan semua ahli UMNO.

“Dalam suasana umat Islam menyambut Syawal, Puteri UMNO Kota Bharu mengambil inisiatif mengatur program rumah terbuka yang dihadiri wanita-wanita muda termasuk perantau yang pulang bercuti di kampung halaman.

“Majlis seperti ini merupakan platform yang bagus untuk mereka mendekati dan berkenalan dengan golongan tersebut sebelum mereka meninggalkan Kelantan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian, Wal Salmiah Wan Abdul Ghani.

Sementara itu, Wan Salmiah berkata, majlis sambutan hari raya diadakan setiap tahun dan kali ini pihaknya menganjurkan majlis sama di awal Syawal bagi membolehkan golongan perantau menghadirinya.

“Selain mendekati dan berkenalan dengan perantau, kami berpeluang merapatkan ukhwah sesama sendiri dan masyarakat setempat. – 28 Jun 2017.