Rumah Terbuka Aidilfitri Bukti Semangat Perpaduan Masyarakat Majmuk Di Malaysia

Unit Komunikasi Dato’ Sri Mustapa Mohamed menafikan laporan berita bertajuk “Rumah terbuka bukti ekonomi negara pesat berkembang” yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, unit berkenaan berkata, Mustapa tidak pernah membuat kenyataan sedemikian sebaliknya berkata penganjuran rumah terbuka membuktikan semangat perpaduan yang terdapat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Dalam sidang media pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Darul Falah Jeli semalam, Datuk Seri Mustapa berkata, rumah terbuka merupakan bukti perpaduan di Malaysia.

“Dan kesinambungan penganjuran acara tradisi ini (rumah terbuka) oleh pelbagai syarikat serta pihak di seluruh negara membuktikan bahawa ekonomi negara tidaklah bankrap seperti yang digembar-gemburkan,” kata kenyataan itu.

Semalam Sinar Harian melaporkan, penganjuran rumah terbuka Aidilfitri membuktikan ekonomi negara masih pesat berkembang.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam sidang media tersebut, Mustapa turut ditanya mengenai prestasi ekonomi negara di mana beliau menjawab bahawa pertumbuhan KDNK terus kukuh pada kadar 5-6% sepertimana laporan suku tahun pertama ini.

“Ini merupakan dua ulasan bagi menjawab dua soalan dalam konteks yang berbeza dan tidak seharusnya dirumuskan sepertimana laporan tersebut,” katanya.

Difahamkan, pihak Sinar Harian sudah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan telah mengemaskini laporan asal berita berkenaan.

Tambah kenyataan tersebut, unit berkenaan berharap, semuga penjelasan itu dapat membetulkan salah anggap dan kritikan yang timbul dari laporan asal berita berkenaan. – 28 Jun 2017.