Kastam Keluar Kenyataan Penuh Kehilangan Radar Tentera Minggu Depan

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mengeluarkan kenyataan penuh berhubung isu kehilangan sistem peralatan radar ketenteraan bernilai jutaan ringgit pada minggu depan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam berkata, tempoh itu diperlukan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

“Saya akan mengeluarkan kenyataan (isu kehilangan sistem peralatan radar ketenteraan) minggu depan.

“Kami akan keluarkan kenyataan itu kerana pada masa ini kami masih melakukan siasatan mengenainya dan proses siasatan masih berjalan,” katanya semasa dihubungi hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai kehilangan sistem peralatan radar ketenteraan bernilai jutaan ringgit di Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

Berdasarkan laporan itu, sistem perkakasan barangan terbabit dalam perjalanan transit dari Australia ke Belanda dan ditahan JKDM sementara menunggu dokumen diperlukan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Peralatan ketenteraan berteknologi tinggi itu dikatakan tiba di negara ini pada bulan lalu dalam satu kontena tetapi semakan audit dijalankan mendapati peralatan itu tidak berada di pelabuhan tersebut.

Kehilangan perkakasan ketenteraan yang perlu mendapat kelulusan mengikut Akta Perdagangan Strategik 2010 disahkan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad.

Noor Hashim turut mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan sistem itu pada 13 Jun lalu daripada Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). – 29 Jun 2017.