Kes Demam Denggi Meningkat Di Kelantan

Kes demam denggi meningkat di Kelantan apabila 1,599 kes direkodkan dari Januari hingga Jun tahun ini berbanding 1,131 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, semua daerah menunjukkan peningkatan dengan Kota Bharu, Tumpat dan Tanah Merah merupakan daerah paling banyak menyumbang kepada bilangan kes.

Katanya, daripada jumlah tersebut, dua kes kematian direkodkan masing-masing di Kota Bharu dan Pasir Mas berbanding satu kematian tahun lalu.

Menurut beliau, walaupun jumlah kes mula menurun awal Ramadan lalu, namun terdapat kemungkinan kes tersebut akan meningkat semula berikutan kepulangan perantau yang dibimbangkan membawa pulang virus denggi.

“Kita khuatir mereka akan membawa pulang virus demam denggi yang boleh menjangkiti ahli keluarga lain.

“Adalah penting orang ramai mengambil langkah pencegahan termasuk memastikan persekitaran bersih, guna pencegah nyamuk, semburan aerosol dan memakai pakaian yang cerah serta menutup anggota badan,” katanya selepas Program Selamat Pulang Perantau di Labok, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Bagaimanapun, Ahmad Razin berkata, pihaknya yakin penyakit itu terkawal berikutan kerjasama penduduk dengan mematuhi nasihat serta arahan dikeluarkan jabatannya.

Sementara itu, kata beliau, pihaknya turut memeriksa sebanyak 2,375 premis dalam operasi Penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 yang bermula 13 hingga 19 Jun lalu.

Tambahnya, operasi berkenaan dilaksanakan serentak di seluruh daerah di negeri ini merangkumi 2,216 premis kediaman dan tapak binaan, premis barang lusuh (27) dan lain-lain premis (86).

“Hasil daripada operasi tersebut, 109 premis didapati positif dan sebanyak 13 notis serta 99 kompaun telah dikeluarkan,” katanya. – 29 Jun 2017.