Trafik Lebuh Raya Utama Bergerak Perlahan

Trafik di beberapa lebuh raya utama setakat jam 12 tengah hari ini dilaporkan bergerak perlahan.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berkata, trafik perlahan di Sungai Petani menuju ke Bertam, Permatang Pauh ke Perai, Bandar Cassia ke Jawi, Bandar Baru ke Alor Pongsu dan Changkat Jering ke Bukit Berapit.

“Aliran kenderaan turut perlahan di kawasan Rehat dan Rawat Sungai Perak ke Terowong Menora manakala di selatan trafik perlahan di Ayer Hitam menuju Yong Peng​​​​,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 masih lancar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/llminfotrafik. – 29 Jun 2017.