Rumah Dipecah Masuk, Rugi RM30,000

Sebuah keluarga di Jalan Berek 12, di Kota Bharu mengalami kerugian dianggarkan RM30,000 apabila kediaman mereka dipecah masuk sekumpulan penjenayah yang melarikan pelbagai barangan berharga dalam kejadian semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, keluarga terbabit tidak berada di rumah kerana menghadiri kenduri di Tanah Merah.

Menurut mangsa yang dikenali sebagai Mohamad, 55, dia dimaklumkan mengenai kejadian oleh salah seorang anaknya yang melihat kediaman mereka berselerak selepas pulang ke rumah.

“Antara barangan yang dilarikan ialah barang kemas seperti gelang, cincin permata, dua jam tangan berjenama , wang tunai RM750, sebuah komputer riba dan kunci pendua kereta jenis Honda dan BMW yang keseluruhannya berjumlah RM30,000.

“Penjenayah dipercayai masuk melalui pintu bahagian dapur rumah kerana terdapat kesan umpil di tombol pintu selain mangga jeriji telah dirosakkan,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, pada malam raya lalu, rumahnya dipercayai cuba dipecah masuk namun gagal kerana sistem penggera kediamannya berbunyi.

“Namun, pada hari kejadian, sistem penggera tidak diaktifkan menyebabkan penjenayah terbabit berjaya masuk ke rumah dan menggeledah kesemua empat bilik dan ruang tamu,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Katanya, siasatan awal mendapati terdapat enam kesan cap jari pada almari solek dan pintu almari pakaian di rumah tersebut.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut bagi menjejaki penjenayah terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah,” katanya. – 30 Jun 2017.