Imigresen Kelantan Tahan 147 Warga Asing

Jabatan Imigresen negeri Kelantan menahan seramai 147 warga asing yang gagal mendaftarkan diri menerusi Program Enforcement Card atau e-Kad dalam serbuan di sebuah tapak projek perumahan mampu milik di Kampung Badang, Pantai Cahaya Bulan (PCB) hari ini.

Pengarah Imigresen Negeri, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi tersebut dijalankan bermula dari pukul 11 pagi sehingga 1 tengah hari di sekitar kawasan berkenaan melibatkan 31 pegawai serta anggota.

“Hasil serbuan yang dijalankan, kita berjaya menahan 147 warga asing melibatkan tiga warganegara iaitu Bangladesh 132 orang , Pakistan (10) , Indonesia (5) yang berusia 25 hingga 50 tahun walaupun ada diantara mereka cuba melarikan diri.

“Pemeriksaan awal mendapati kebanyakan mereka tiada dokumen perjalanan yang sah manakala selebihnya salah guna pas lawatan,” katanya.

Tambahnya, kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Akta 39 (b) Peraturan Imigresen 1963.

Jelasnya, kesemua yang ditahan akan dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan di Telipot untuk pemeriksaan lanjut dan sekiranya didapati bersalah akan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Tanah Merah. – 1 Julai 2017.