Kit Siang Ajak Rakyat Ubah Kerajaan Kelantan

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menggesa rakyat melakukan perubahan dengan menukar kerajaan PAS Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, rakyat Kelantan perlu menjadi perintis mengubah kerajaan bukan sahaja di Kelantan tetapi di Putrajaya.

“PRU-14 sangat penting untuk selamatkan Kelantan, selamatkan Malaysia. Sekarang kita boleh rasa angin perubahan itu,” katanya ketika berucap pada Ceramah Pakatan Harapan di Kota Bharu.

Hadir sama Presiden PAN, Mohamad Sabu; Penasihat PAN Kelantan, Datuk Husam Musa dan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan diketuai DAP.

Katanya lagi, ketika zaman pemerintan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar itu menjadi contoh kepada bukan sahaja ahli PAS tetapi seluruh rakyat Malaysia.

“Tetapi sekarang ini siapa hendak jadi ‘role model’,” katanya.

Sementara itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut menyokong Husam sebagai Menteri Besar Kelantan yang baharu selepas PRU-14.

“Husam bakal jadi ‘role model’ bagi rakyat Kelantan dan juga Malaysia,” katanya. – 30 Jun 2017.