Husam MB: Kerajaan PAS Kelantan Tidak Terkesan

Kerajaan PAS Kelantan langsung tidak terkesan dengan pengumuman Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menamakan Datuk Husam Musa sebagai Menteri Besar Kelantan sekiranya Pakatan Harapan menang di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, PAS sentiasa memandang ke hadapan untuk menghadapi segala cabaran dalam mempertahankan Kelantan daripada jatuh ke tangan pihak lain.

“Kita serahkan kepada rakyat untuk tentukan. Menamakan calon Menteri Besar adalah perkara biasa, sebelum ini, Datuk Dr. Awang Adek Hussin
juga pernah dicalonkan menjadi Menteri Besar.

“Ramai sangat hendak jadi Menteri Besar di Kelantan ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka PAS Kelantan di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-IV hari ini.

Dalam ceramah Pakatan Harapan di Dewan Perniagaan Cina di sini kelmarin, Kit Siang telah menamakan Husam sebagai Menteri Besar jika pakatan itu menang dalam PRU-14.

Malah Ahli Parlimen Gelang Patah itu secara terang-terangan menyokong Husam memegang jawatan tersebut dengan menyifatkan beliau sebagai role model bagi rakyat Kelantan dan Malaysia selepas ketiadaan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kit Siang juga menggunakan kesempatan ceramah itu dengan menggesa rakyat negeri ini menukar Kerajaan PAS Kelantan dengan menyatakan adalah menjadi keperluan bagi rakyat untuk menyelamatkan Kelantan. – 2 Julai 2017.