Yakin Rakyat Tolak Calon Menteri Besar Pilihan DAP

Tindakan Lim Kit Siang menamakan Datuk Husam Musa sebagai Menteri Besar sekiranya Pakatan Harapan menang di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) membuktikan DAP berkuasa penuh dalam gabungan tersebut.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS negeri, Nazman Che Iberahim berkata, Penasihat DAP itu boleh mengatur sesiapa sahaja yang diinginkan sekaligus membelakangi parti lain dalam pakatan berkenaan.

“Bagaimana Kit Siang boleh membuat pengumuman penting (namakan Husam sebagai Menteri Besar) yang bakal melibatkan nasib 1.6 juta rakyat Kelantan dalam satu majlis hari raya parti serpihan sahaja (PAN)?.

“Dan tindakan Kit Siang secara jelas membelakangi parti lain dalam komponen mereka seperti PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Adakah PPBM dan PKR negeri setuju dengan pengumuman semborono Kit Siang ini,” katanya semasa ditemui hari ini.

Dalam ceramah Pakatan Harapan di Dewan Perniagaan Cina di Koa Bharu semalam, Kit Siang telah menamakan Husam sebagai Menteri Besar jika pakatan itu menang dalam PRU-14.

Malah Ahli Parlimen Gelang Patah itu secara terang-terangan menyokong Husam memegang jawatan tersebut dengan menyifatkan beliau sebagai role model bagi rakyat Kelantan dan Malaysia selepas ketiadaan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kit Siang juga menggunakan kesempatan ceramah itu dengan menggesa rakyat negeri ini menukar Kerajaan PAS Kelantan dengan menyatakan adalah menjadi keperluan bagi rakyat untuk menyelamatkan Kelantan.

Sementara itu Nazman berkata, beliau yakin rakyat akan menolak mana-mana calon yang dinamakan DAP menjadi Menteri Besar.

Dalam masa sama, beliau juga mengingatkan Kit Siang supaya berpijak di bumi nyata apabila membuat gesaan supaya rakyat menolak PAS dan menggantikan kerajaan sedia ada di Kelantan.

“Rakyat di Kelantan bijak dan boleh menilai siapa yang layak memimpin mereka. Rakyat juga sangsi dengan calon yang diumumkan DAP itu malah tidak boleh terima sama sekali.

“Kit Siang juga boleh namakan siapa sahaja sebagai role model namun rakyat sedar bahawa role model terbaik sehingga saat ini adalah Allahyarham Nik Abdul Aziz.

“Jadi, Kit Siang tidak usahlah datang ke Kelantan untuk mengajar rakyat negeri ini berpolitik. Ia umpama mengajar ikan berenang sahaja,” katanya. – 2 Julai 2017.