DAP Tidak Hormati Parti Gabungannya

PAS menyifatkan Pakatan Harapan yang diketuai DAP tidak sesuai menggantikan Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negara selagi mereka tidak mengubah sikap.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, sikap sering bersaing untuk menunjukkan kekuatan masing-masing selain tidak menghormati parti-parti lain dalam gabungan telah menyukarkan hasrat tersebut.

Katanya, perkara itu dibuktikan apabila DAP tanpa menghiraukan parti-parti lain dalam pakatan tersebut telah menamakan Datuk Husam Musa sebagai Menteri Besar Kelantan sekiranya mereka menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Itulah sikap sebenar DAP yang telah difahami oleh PAS sejak sekian lama. Sebab itu kita berpisah dengan mereka kerana kita tahu DAP ini apabila merasakan dia kuat, dia akan menguasai.

“Kalau DAP saling menghormati parti-parti lain, dia tidak akan mudah untuk menentukan mana-mana parti yang layak menjadi Menteri Besar.

“Jadi, apa yang PAS kata sebelum ini telah terbukti berlaku dalam Pakatan Harapan. Sekarang Pakatan Harapan dilihat sering bersaing untuk berada di depan, bagi saya, kalau mereka terus dengan sikap ini, masih tidak sesuai untuk mereka menggantikan BN,” katanya.

Dalam ceramah Pakatan Harapan di Dewan Perniagaan Cina di Kota Bharu kelmarin, Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menamakan Husam sebagai Menteri Besar jika pakatan itu menang dalam PRU-14.

Malah Ahli Parlimen Gelang Patah itu secara terang-terangan menyokong Husam memegang jawatan tersebut dengan menyifatkan beliau sebagai role model bagi rakyat Kelantan dan Malaysia selepas ketiadaan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kit Siang juga menggunakan kesempatan ceramah itu dengan menggesa rakyat negeri ini menukar Kerajaan PAS Kelantan dengan menyatakan adalah menjadi keperluan bagi rakyat untuk menyelamatkan Kelantan.

Sementara itu, Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen PAS Mas berkata, keputusan PAS sebelum ini untuk tidak bersama pakatan tersebut adalah langkah tepat.

“Kita yakin pendekatan yang digunakan PAS sekarang akan terus diterima oleh rakyat,” katanya. – 3 Julai 2017.