PAN Tanding Semua Kerusi Di Kelantan, Husam Dijangka Cabar Takiyuddin

PAN akan meletakkan calonnya di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Kelantan.

Pengerusi PAN negeri, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, bagaimanapun buat masa ini, pihaknya masih belum memuktamadkan senarai calon di negeri itu.

“Kita meletakkan calon terdiri daripada orang lama dan baharu termasuk golongan profesional serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kita yakin mempunyai peluang untuk menamatkan penguasaan PAS di Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Wan Abdul Rahim berkata, persoalan siapa yang bakal menjadi Menteri Besar sekiranya Pakatan Harapan berjaya merampas Kelantan dalam PRU-14 masih belum diputuskan.

Katanya, langkah Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menamakan Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar cuma cadangan beliau yang mahu melihat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu mengetuai pentadbiran Kelantan.

“Bagaimanapun, Husam tetap akan mempertahankan kerusi DUN Salor selain dijangka bakal mencabar Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan di Parlimen Kota Bharu,” katanya. – 3 Julai 2017.