Penagih Dadah Curi Ambulans Ditahan

Polis menahan dua lelaki dipercayai penagih dadah yang melarikan ambulans milik Hospital Kuala Krai di sebuah bengkel haram, di Labok Machang, 30 Jun lalu.

Kedua-dua lelaki berkenaan yang berumur 35 serta 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang selepas melarikan van berkenaan yang dihantar di bengkel di Jalan Besar Guchil, Kuala Krai seminggu sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, difahamkan suspek menjual alat ganti kenderaan tersebut bagi mendapatkan wang membeli dadah.

“Ketika ambulans berkenaan ditemui, pelekat pada kenderaan itu sudah dibuang selain telah diubah suai serta menggunakan nombor pendaftaran palsu, bagaimanapun catnya masih dalam keadaan asal,” katanya.

Tambahnya, suspek berkenaan ditahan reman empat hari sehingga esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan,” katanya.

Akhbar baru-baru ini malaporkan ambulan milik Hospital Kuala Krai yang ditinggalkan di sebuah bengkel kenderaan untuk dibaiki hilang dalam kejadian di Jalan Besar Guchil, Kuala Krai.

Pemilik bengkel berusia 47 tahun itu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. – 3 Julai 2017.