RISDA Sedia Biasiswa RM500,000

RISDA memperuntukkan biasiswa sebanyak RM500,000 kepada 1,000 anak pekebun kecil yang berdaftar dengan agensi itu tahun ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, biasiswa itu diberikan kepada pekebun kecil yang berada di bawah paras kemiskinan.

Katanya, setiap pekebun kecil yang terpilih akan menerima RM500 untuk anak mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Di Kelantan sahaja, RISDA memperuntukkan RM180,000 untuk membantu anak pekebun kecil di negeri ini melanjutkan pengajian.

“Biasiswa ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga untuk digunakan bagi menampung kos pembelajaran anak mereka ke peringkat lebih tinggi sekali gus dapat mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Sambutan Aidilfitri RISDA Kelantan di Kota Bharu, hari ini. – 3 Julai 2017.