SPRM Siasat Alat Radar Tentera Hilang

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menghantar pasukan bagi menyiasat dakwaan kehilangan peralatan radar tentera di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor.

Tindakan tersebut berikutan aduan yang diterima pihaknya berhubung kehilangan kontena mengandungi peralatan berteknologi tinggi itu.

Dalam satu kenyataannya hari ini, suruhanjaya itu berkata, siasatan perlu dilakukan sebelum tindakan lanjut diambil.

“Pasukan penyiasat akan menilai maklumat-maklumat yang diperolehi untuk mengenal pasti sama ada wujudnya unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam kejadian tersebut,” kata suruhanjaya itu.

Menurut kenyataan itu lagi, SPRM akan mengambil keterangan beberapa pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi membantu siasatan.

Selain itu, SPRM juga akan bekerjasama dengan pihak polis yang turut menjalankan siasatan ke atas dakwaan kehilangan peralatan radar tentera berteknologi tinggi tersebut.

“Bagaimanapun, siasatan SPRM hanya akan tertumpu kepada elemen rasuah dan salah guna kuasa dan tidak akan campur tangan dalam siasatan yang dijalankan oleh pihak polis,” kata SPRM. – 3 Julai 2017.