Tangan Kudung Bukan Penghalang Warga Emas Kayuh Beca Cari Rezeki

Kecacatan tidak menghalang seorang warga emas untuk terus mencari rezeki bagi menyara hidup keluarga dengan mengayuh beca.

Abdul Rahman Konok, 76, yang kudung tangan kanannya sejak remaja lagi akibat kanser tidak menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang kepada dirinya untuk terus mengayuh beca.

Biarpun beca tidak lagi popular berikutan wujudnya pelbagai jenis pengangkutan awam yang lain, namun bagi Abdul Rahman, itu punca utama rezekinya.

“Pak cik mula mengayuh beca ketika usia masih belasan tahun lagi dan inilah sumber rezeki utama bagi menyara anak dan isteri sejak dahulu lagi.

“Dulu ramai yang menggunakan khidmat beca ini, namun lama-kelamaan ia seakan tidak diperlukan lagi.

“Sebelum ini pakcik sudah jarang menerima pelanggan dan hanya diminta menghantar bekalan ikan atau sayur-sayuran sahaja di sekitar Kota Bharu,” katanya ketika ditemui Bernama di perkarangan Pasar Besar Siti Khadijah.

Katanya, selagi kudrat masih ada, tanggungjawab untuk mencari rezeki bagi sesuap nasi hidupnya sekeluarga akan diteruskan walau dengan menarik beca biarpun usia semakin lanjut.

Berbekalkan kecekalan serta ketabahan, dia tidak pernah mengeluh walau kadangkala tidak mendapat sesenpun.

Dia berpegang dengan keyakinan, bahawa rezeki itu datang daripada usaha yang gigih.

“Dahulu pendapatan sebagai pengayuh beca dikira lumayan tetapi sekarang ini kalau dapat RM10 atau RM20 sehari sudah dikira bernasib baik.

“Kebanyakan pelanggan biasanya memberi upah lebih, mungkin kerana kasihan tetapi pakcik tidak kisah asalkan kerja tetap dilakukan.

“Memang ramai orang merasa kasihan dan pelik dengan keadaan pakcik yang dilihat seolah-olah masih gagah mengayuh beca walaupun usia sudah lanjut tetapi ini memang kehendak pakcik,” katanya.

Abdul Rahman berkata, pekerjaan itu sahaja yang mampu dilakukannya kerana tidak berpelajaran akibat kesempitan hidup keluarganya. – 3 Julai 2017.