Dr. Vida Bida Tiga Nombor Plat AKU

Jutawan kosmetik Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman membida tiga nombor bagi plat kenderaan siri AKU yang dibuka semalam.

Memetik laporan sebuah portal berita online, jutawan kosmetik yang lebih dikenali dengan Dr. vida itu berkata, tiga nombor yang dibidakan itu adalah signifikan dengan dirinya.

“Saya akan bida tiga nombor, tapi tak payahlah saya dedahkan nombor dan jumlah bidaan tersebut. Biarlah rahsia. Saya tak nak nanti nombor itu terlepas ke tangan orang lain.

“Saya memang menunggu nombor siri AKU ini untuk dipakai pada kereta Toyota Vellfire yang dibeli enam bulan lalu. Harap kali ini ada rezeki saya,” katanya seperti dilaporkan portal berkenaan.

Sebelum ini, Vida pernah membida nombor plat F1 yang secara kebetulan mempunyai persamaan dengan singkatan bagi Formula One (F1) pada tahun lalu.

Namun bidaannya itu tidak berjaya selepas ia dimenangi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan harga bidaan sebanyak RM836,660.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak semalam mengumumkan orang ramai boleh mula membida nombor plat kenderaan siri AKU bermula Isnin sehingga 18 Julai ini.

Pengarahnya Mohd Zawawi Zakaria berkata, ada beberapa nombor pendaftaran yang tidak termasuk dalam kategori nombor pilihan namun menjadi pilihan ramai termasuk selebriti turut dimasukkan dalam tender dan dikategorikan sebagai Nombor Popular seperti 8055 (BOSS), 1305 (BOS) dan 805 (BOS). – 4 Julai2017.