Hina Agong; Polis Digesa Ambil Tindakan

Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta segera mengesan pemilik akaun facebook ‘Catt Ginger’ apabila menghina Yang Di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dengan menularkan gambar berunsur penghinaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Datuk Zawawi Othman berkata, gambar yang menggunakan hidung khinzir yang ditularkan pada 25 Jun 2017 pada pukul 6.37 pagi sebagai ucapan Selamat hari Raya adalah cetusan penghinaan kepada umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini.

Menurutnya, Yang Di Pertuan Agong adalah tonggak dan Ketua Agama Islam di negara ini yang tidak sepatutnya diambil kesempatan oleh pihak tertentu.

“Saya minta semua pemimpin politik tanpa mengira pembangkang atau kerajaan serta pemimpin badan bukan kerajaan memperkasakan usaha agar keseluruhan rakyat memahami dan menghayati lafaz Rukun Negara.

“Rakyat perlu dididik supaya mengormati Raja dan pemimpin. Jangan cetuskan suasana yang boleh menimbulkan ketegangan. Semangat kepahlawanan Melayu, pastinya pantang melihat pemimpin mereka dikeji, apatah lagi ianya membabitkan Yang Di Pertuan Agong sebagai tunggak kerajaan dan raja-raja Melayu di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Hari Raya Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain di Cherang Ruku, Pasir Puteh hari ini.

Mengulas tindakan pemilik facebook berkenaan, Zawawi berkata, sudah ada sesetengah pihak dari bangsa lain yang jahil mengenai sejarah negara yang perlu dididik semula oleh pemimpin mereka.

“Penghinaan ini akan membawa padah kepada bangsa mereka sendiri sekiranya ia tidak ditangani dengan segera. Pihak berkuasa perlu ambil tindakan yang tegas agar ianya tidak merebak.

“Saya turut tercabar dan terasa dihina dengan perasaan yang amat marah. Apa lagi orang-orang Melayu Islam yang masih muda pastinya lebih sensitif apabila maruah seorang raja sewenang-wenangnya gunakan bagi menjayakan agenda memecah-belahkan perpaduan kaum di negara ini,” katanya. – 4 Julai 2017.