Kesan Teruk Kepada Husam

Tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengisytiharkan nama Datuk Husam Musa sebagai bakal Menteri Besar Kelantan sebelum memenangi pilihan raya memberi kesan teruk kepada bekas Naib Presiden PAS itu.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, sepatutnya nama yang dicadangkan untuk Menteri Besar adalah dari parti yang menang.

“Saya pun hairan, pihak yang sepatutnya mencadangkan nama Menteri Besar adalah parti yang menang, dan nama itu perlu diangkat kepada istana.

“Ini pilihan raya pun belum lagi, jadi banyak benda yang pelik, macam mana Penasihat DAP, Lim Kit Siang boleh datang umum bakal Menteri Besar?

“Presiden PAN ada di sebelah buat apa? Sebab itu saya lihat DAP yang kawal PAN, bagi parti itu PAN hanyalah budak suruhan,” katanya kepada pemberita di Majlis Mesra Aidilfitri anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jheaik) di pekarangan bangunan Jameiah Al-Asriah, di Kota Bharu hari ini.

Dalam ceramah Pakatan Harapan di Dewan Perniagaan Cina di sini baru-baru ini,  Kit Siang telah menamakan Husam sebagai Menteri Besar jika pakatan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 14.  – 4 Julai 2017.